Tuesday, January 22, 2013

Buku Lee Kuan Yew yang menarik

Pada tahun 1960-an, ketika saya masih muda, idola politik saya ialah Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura. Saya begitu kagum dengan kebijaksanaan beliau. Apa saja berita tentang beliau sentiasa saya ikuti. Dan apa  saja penerbitan tentang diri beliau, saya  cuba perolehi.

Oleh itu,  pada tahun 1968, apabila  terbit buku Lee Kuan Yew  oleh Alex Josey, saya telah membeli buku tersebut, walaupun ketika itu bahasa Inggeris saya masih sangat lemah. Pada masa itu  saya  sebenarnya  masih belum boleh  membaca dan  memahami buku tersebut. Dan buku itu terpaksa saya simpan sahaja.

Pada tahun 1972, ketika  saya berada dalam Tahun Ke-2 di UKM, saya cuba membaca buku tersebut. Bahasa Inggeris saya  sudah  baik sedikit, tetapi saya terpaksa membaca buku itu dengan bantuan kamus.

Setelah membacanya kira-kira 100 muka, saya terpaksa menyerah kalah, kerana merasakan masih sukar untuk membaca buku tersebut. Jadi  buku itu  sekali lagi terpaksa saya simpan sahaja.

Baru-baru ini saya teringat kepada buku tersebut dan cuba membacanya, setelah lebih 40 tahun buku itu berada dalam simpanan saya. Nampaknya buku itu masih menarik!