Pada tahun 1960-an, ketika saya masih muda, idola politik saya ialah Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura. Saya begitu kagum dengan kebijaksanaan beliau. Apa saja berita tentang beliau sentiasa saya ikuti. Dan apa saja penerbitan tentang diri beliau, saya cuba perolehi.
Oleh itu, pada tahun 1968, apabila terbit buku Lee Kuan Yew oleh Alex Josey, saya telah membeli buku tersebut, walaupun ketika itu bahasa Inggeris saya masih sangat lemah. Pada masa itu saya sebenarnya masih belum boleh membaca dan memahami buku tersebut. Dan buku itu terpaksa saya simpan sahaja.
Pada tahun 1972, ketika saya berada dalam Tahun Ke-2 di UKM, saya cuba membaca buku tersebut. Bahasa Inggeris saya sudah baik sedikit, tetapi saya terpaksa membaca buku itu dengan bantuan kamus.
Setelah membacanya kira-kira 100 muka, saya terpaksa menyerah kalah, kerana merasakan masih sukar untuk membaca buku tersebut. Jadi buku itu sekali lagi terpaksa saya simpan sahaja.
Baru-baru ini saya teringat kepada buku tersebut dan cuba membacanya, setelah lebih 40 tahun buku itu berada dalam simpanan saya. Nampaknya buku itu masih menarik!